Hamzah menunjukkan kad pengenalan palsu yang dicetak kumpulan sindiket ketika sidang media  di IPD Ampang Jaya, semalam.
Hamzah menunjukkan kad pengenalan palsu yang dicetak kumpulan sindiket ketika sidang media di IPD Ampang Jaya, semalam.
HM Digital

Ampang Jaya: Semua kad boleh buat. Itu antara perkhidmatan haram ditawarkan tiga warga Indonesia kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mahu menetap dan bekerja di negara ini.

Difahamkan mereka menjual MyKad, kad permaustautin tetap dan E-kad palsu yang dicetak pada harga bermula RM400.

Kegiatan jenayah itu bagaimanapun dibongkar sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menahan tiga individu termasuk dua wanita di Kampung Tasik Permai di sini, yang dikesan aktif memalsukan dokumen kerajaan.

Menurutnya,polis menemui pelbagai barang dan peralatan disyaki digunakan untuk menghasilkan pelbagai dokumen palsu.

“Serbuan turut merampas 34 MyKad tanpa butiran, lapan E-kad, mesin pencetak dan pelbagai peralatan lain untuk menghasilkan dokumen palsu.

“Siasatan mendapati kumpulan itu menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak enam bulan lalu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:50 AM