SHAFIE
SHAFIE
Norasikin Daineh

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersedia membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang pernah diterajuinya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menafikan syarikat disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkenaan adalah proksi beliau.

Mohd Shafie berkata, ketika berkhidmat sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 dan 2015, kementeriannya mencatatkan pencapaian cemerlang.

“Kami tidak mahu mereka-reka cerita. Berdasarkan penilaian prestasi pada 2009, 2012 dan 2013 yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau (Najib) merakamkan ucapan tahniah atas Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang saya tunjukkan.

“Kita laksanakan, bukan tidak laksana dan ini semua fakta. Kementerian saya bantu fakir miskin, bantu masyarakat, bukan kita ambil duit masuk dalam akaun,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Ditanya sama ada siasatan itu bermotifkan serangan politik, Mohd Shafie mempersoalkan mengapa tiada siasatan sebelum dia meninggalkan kementeriannya.

“Apabila saya berada di dalam kerajaan, pencapaian baik. Sekarang apabila saya keluar dari kerajaan, saya melakukan sesuatu yang salah. Selama bertahun-tahun, mengapa tidak ada yang salah?

“Bagaimanapun, apa yang penting sekarang ialah kami akan fleksibel. Saya harap semua penyokong kami akan tetap tenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:32 AM