Zainol (kanan) menunjukkan jongkong emas yang dirampas berkenaan dengan kes samun emas di hadapan kilang emas Zue Bao, Jalan Siram Satu Taman Siram, Butterworth, Pulau Pinang semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Zainol (kanan) menunjukkan jongkong emas yang dirampas berkenaan dengan kes samun emas di hadapan kilang emas Zue Bao, Jalan Siram Satu Taman Siram, Butterworth, Pulau Pinang semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS meminta kerjasama orang ramai melaporkan sekiranya menemui seorang lelaki cuba mendapatkan rawatan atau pembedahan di lengan bagi mengeluarkan peluru selepas ditembak dalam kejadian samun jongkong emas dan barang kemas bernilai RM1.9 juta di hadapan kilang emas di Jalan Siram Satu, Butterworth, 25 September lalu.

Lelaki berusia 20-an itu yang disyaki dalang utama dan masih belum diketahui identitinya dipercayai cedera selepas ditembak di lengan sebelum melarikan diri dan suspek disyaki cuba mendapatkan rawatan di klinik swasta selain masih bersembunyi bagi mengelak dikesan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, polis sudah mengenal pasti dua lelaki bagi membantu siasatan dan mereka dikenali sebagai K Joyo, 38, beralamat di No 14, Lorong 3, Taman Sri Permata, Sungai Gadut, Negeri Sembilan dan Mohd Amali Masturo, 30, dari Blok 6-10-14, Jalan 9/1188, Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

"Setakat ini, polis sudah menahan 11 orang termasuk tiga wanita berusia antara 26 hingga 45 tahun di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan sejak 25 September lalu hingga semalam dan berjaya menemui semula dua jongkong emas dan beberapa barangan kemas dipercayai hasil barangan yang dirompak.

"Polis turut memburu beberapa individu lain yang dipercayai penjual dan pembeli barang kemas serta jongkong emas disamun dalam kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

Zainol berkata, semua suspek yang ditahan masih direman sehingga Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkawan dengan senjata kapal dan tukul besi yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau sebatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Asisten Superintendan Winston anak Raip di 019-5796132 atau Pegawai Turus D9 IPK negeri Superintendan Wan Khairuddin Wan Idris di 017-5200074.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi 25 September lalu, dua pekerja kilang emas yang membawa beg berisi jongkong dan rantai emas diserang tiga perompak bersenjatakan kapak dan tukul manakala seorang lagi perompak berada di dalam kereta.

Pada ketika itu, mangsa dikatakan mahu membawa jongkong dan rantai emas itu ke sebuah kilang emas di Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, namun dirompak individu tidak dikenali.

Melihat keadaan mencemaskan, pengawal keselamatan kilang berkenaan melepaskan empat das tembakan ke arah kenderaan suspek dari tingkat satu bangunan kilang berkenaan, namun ia tersasar.

Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Bezza berwarna merah sebelum kenderaan mereka ditemui di sebuah pangspuri dekat Ampang Jajar, Permatang Pauh dalam keadaan but belakangnya remuk serta terdapat kesan tembakan di cermin penumpang belakang dan bumbung kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 10:51 PM