KEDAI emas yang dirompak.
KEDAI emas yang dirompak.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebuah kedai emas di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) kerugian RM300,000 selepas premis itu dirompak lapan lelaki bersenjatakan pistol, parang dan tukul besi, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang tadi, tiga perompak terbabit masuk ke dalam kedai emas itu dan mengacu pistol ke arah pekerja sebelum memecah cermin dengan tukul besi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, lima lagi suspek berada di tepi jalan.

Menurutnya, suspek melarikan tujuh dulang barangan kemas bernilai RM300,000 dan mereka hanya mengambil masa lima minit sebelum melarikan diri dengan motosikal ke arah Dataran Merdeka.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 9:03 PM