Orang ramai berbaris panjang mengisi minyak petrol percuma di Merbok pagi tadi. FOTO Omar Osman
Orang ramai berbaris panjang mengisi minyak petrol percuma di Merbok pagi tadi. FOTO Omar Osman
Omar Osman


SERAMAI 1,500 penunggang motosikal sekitar Merbok, Sungai Petani tidak melepaskan peluang mengisi minyak petrol RON95 secara percuma disumbangkan Ahli Parlimen Merbok Profesor Dr Ismail Daut.

Mereka mula beratur seawal jam 9 pagi hari ini bagi mengisi minyak petrol secara percuma biarpun program terbabit hanya bermula jam 10 pagi.

Sebahagian besar penunggang motosikal terbabit terdiri daripada surirumah dan petani.

Ismail berkata, sumbangan minyak percuma itu sebahagian daripada aktiviti Parlimen Merbok dalam usaha meringankan beban rakyat khususnya penduduk sekitar yang terkesan dengan kenaikan harga minyak dan harga barangan lain.

Katanya, rata-rata penduduk di Merbok terdiri daripada pesawah, petani, bekerja sendiri dan pelajar manakala kenaikan harga minyak sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan mereka.

"Peruntukan sebanyak RM6,000 disediakan bagi menjayakan program ini manakala setiap motosikal dibenarkan mengisi minyak RM5 untuk memberi manfaat kepada 1,500 penunggang motosikal.

"Walaupun jumlah minyak sebanyak RM5 saja, ia memberi manfaat kepada semua orang," katanya ketika ditemui di stesen minyak di Merbok, Sungai Petani hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 1:04 PM