MAH (kanan) sedang mendengar penerangan daripada murid sekolah yang menyertai pameran sempena Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAH (kanan) sedang mendengar penerangan daripada murid sekolah yang menyertai pameran sempena Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menunggu laporan terperinci mengenai kes tular cubaan menculik murid di Kelantan dan Perak baru-baru ini, sebelum membuat sebarang tindakan lanjut mengenainya.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ketika ini pihaknya tidak dapat memberi sebarang komen mengenai kes berkenaan sehingga laporan penuh mengenainya diperoleh.

"Kita kena tunggu laporan terperinci sebelum boleh komen lebih lanjut," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keperluan KPM memasang sistem kamera liar tertutup (CCTV) di pintu pagar utama sekolah atau pondok pengawal keselamatan sekolah untuk memantau kejadian cubaan menculik murid.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad.

Semalam, media melaporkan polis menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik murid sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Taman Pinji Mewah, Ipoh, pada 23 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata, polis menerima laporan mengenai cubaan melarikan murid di sekolah itu daripada ibu mangsa.

Terdahulu, tular gambar laporan polis dimuat naik seorang lelaki mendakwa anak perempuan sulungnya hampir menjadi mangsa culik di hadapan sekolah berkenaan.

Berdasarkan salinan laporan itu, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan nyaris diculik bersama seorang lagi murid oleh seorang lelaki yang menaiki van kira-kira jam 1 tengah hari, sebelum cubaan itu dipatahkan hasil tindakan pantas pengawal keselamatan.

Sementara itu, polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu dilaporkan mengesahkan sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Bagaimanapun hari ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun meminta, kerjasama orang ramai, supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan awam.

Katanya, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik murid di perkarangan sekolah yang berlegar di laman media sosial sejak kebelakangan ini adalah tidak berasas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 2:59 PM