GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Togi Marzuki


POLIS menafikan berlakunya tiga kejadian culik membabitkan kanak-kanak di Pontian seperti tular menerusi laman sosial Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga laporan cubaan culik itu palsu dan tidak benar.

Katanya, bagi kes pertama pada 26 Februari lalu, ibu kepada murid Tahun Tiga melaporkan anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Api-Api cuba diculik seorang lelaki menggunakan van merah.

“Bagi kes kedua pada 15 Mac pula, ibu pelajar Sekolah Agama Sanglang berusia 10 tahun mendakwa anaknya diekori seorang lelaki dengan van putih.

“Kes ketiga pula pada 28 Mac lalu, ibu melaporkan anaknya berusia 11 tahun didekati lelaki tidak dikenali di perkarangan Bank Rakyat di Benut,” katanya.

Mustafa Bakri berkata, berdasarkan ketiga-tiga laporan polis berkenaan, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan hasilnya mendapati kejadian cubaan culik itu palsu dan tidak benar.

“Bagi kes pertama, siasatan mendapati anak pengadu sengaja mereka-reka cerita kerana ingin menarik perhatian ibunya yang selalu mengambilnya lewat ketika pulang dari sekolah.

“Kes kedua berpunca kurang perhatian ibunya yang didakwa asyik bekerja dan kes ketiga pula kerana bimbang tindakan lelaki meminta anaknya mengambil gambar melalui telefon bimbit,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga kes yang ditular dalam FB dan WhatsApp disiasat dari pelbagai sudut dan hanya direka-reka sebelum dimuat naik melalui media sosial.

Katanya, tindakan itu mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai keselamatan anak.

Beliau menasihatkan ibu bapa dan orang ramai supaya tidak mempercayai berita yang tular di laman sosial tanpa mendapatkan maklumat sahih pihak berkuasa terlebih dulu.

“Polis dan sekolah sering bekerjasama dalam hal berkaitan keselamatan murid dan pelajar sekolah.

“Ia bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 5:32 PM