Peserta membuat terjunan pada KL Tower International Jump Malaysia 2017 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Peserta membuat terjunan pada KL Tower International Jump Malaysia 2017 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mahaizura Abd Malik


HILANG upaya bukan penghalang buat Jarrett Martin,27, menyertai sukan ekstrim pada acara KL Tower International Jump Malaysia (KLTIJM) 2017 yang berakhir petang tadi.

Dia yang lumpuh dari bahagian dada ke kaki dibantu rakan dan peserta lain ketika membuat terjunan dari aras ketinggian 312 meter di Menara Kuala Lumpur.

Martin dari Amerika Syarikat (AS) berkata, dia kehilangan upaya akibat kemalangan selepas terjatuh ketika menjalankan aktiviti lasak payung terjun pada usianya 18 tahun.

Menurutnya, kemalangan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya menjalani kehidupan sebaliknya dia teruja kerana dapat melakukan aktiviti yang diminati walaupun serba kekurangan.

"Tragedi yang membuatkan saya perlu menggunakan kerusi roda seumur hidup ini, tidak sedikit pun melemahkan semangat saya.

"Saya tiada masa untuk mengenang apa yang terjadi (bersedih) kerana masih mampu melakukan apa yang diminati sama macam orang normal.

"Selepas enam bulan kemalangan, saya kembali aktif dalam dunia sukan lasak ini sampai sekarang," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan KLTIJM 2017 yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Nor Yahati Awang.

Katanya, minat dalam aktiviti lasak itu mula berputik sejak usianya 14 tahun apabila didorong semua ahli keluarganya yang turut meminati sukan itu.

Sementara itu, acara berprestij yang melabuhkan tirainya semalam selepas empat hari penganjurannya diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) membabitkan tiga kategori.

Pengiktirafan itu diterima menerusi penyertaan paling ramai dalam acara terjunan BASE membabitkan 105 peserta dari 22 negara, platform tertinggi (312 meter) dan terjunan menggunakan tali buat kali pertama.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Pengurus Besar MBOR Mohamad Alex Edward kepada Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Meor Shahril Anuar berkata, penganjuran berkenaan mencapai sasaran terbaik apabila mereka menerima tiga pengiktirafan MBOR sekaligus pada tahun ini.

"Ini adalah penghormatan bagi kami apatah lagi Menara Kuala Lumpur ini adalah idaman buat penerjun dunia melakukan penerjunan.

"Penganjuran acara ini meletakkan Malaysia dalam peta pelancongan antarabangsa sebagai destinasi terbaik untuk aktiviti sukan seumpama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:48 PM