LOKMAN (kiri) bersedia melakukan terjunan dari ketinggian 300 meter.
LOKMAN (kiri) bersedia melakukan terjunan dari ketinggian 300 meter.
KHAIRY (tiga kanan) ceria bersama penerjun selepas melakukan terjunan.
KHAIRY (tiga kanan) ceria bersama penerjun selepas melakukan terjunan.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Sorakan semangat kira-kira 100 ahli pasukan sorak rasmi atlet negara, Team Malaysia mengiringi terjunan Larian Obor KL2017 pada ketinggian 300 meter di Menara Kuala Lumpur kelmarin.

Terjunan dari menara ketujuh tertinggi dunia itu adalah antara gimik menarik yang menyaksikan ia dilakukan sendiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Terdahulu Obor KL2017 dibawa jurulatih paralimpik Noorsham Yoon diiringi pelari Telekom Malaysia (TM) menuju ke pintu utama Menara Kuala Lumpur untuk diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Obor kemudiannya dibawa menaiki tangga hingga ke puncak untuk diserahkan kepada Lokman bagi melakukan terjunan dari ketinggian 300 meter yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Terjunan turut disertai tiga peserta lain yang membawa bendera Jalur Gemilang, KL2017 dan Kuala Lumpur.

Selesai terjunan Obor KL2017 dibawa kembali ke Menara Kuala Lumpur diiringi Pengurus Besar Telekom Malaysia Kuala Lumpur Sharliza Mohd Haris bersama pelari TM bagi diletakkan di pentas utama.

Acara itu berjaya menarik perhatian pengunjung di Menara Kuala Lumpur termasuk pelancong tempatan dan luar negara yang jelas teruja dengan gimik luar biasa itu.

Pada masa sama TM turut menyerahkan cenderahati kepada tetamu jemputan khas sebagai tanda penghargaan dan menyemarakkan sokongan mereka menjelang temasya Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN bulan depan.

Inisiatif syarikat gergasi telekomunikasi itu membawa Obor KL2017 ke Menara Kuala Lumpur dan terjunan pada ketinggian 300m membuktikan semangat luar biasa yang dimiliki bagi membangkitkan sokongan kepada atlet negara.

Ia membuktikan tiada yang mustahil mampu dicapai atlet negara sekiranya melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Secara simbolik ia juga langkah menyeru rakyat Malaysia bersama TM dalam memberi sokongan kepada atlet negara yang diletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada edisi ke-29 Sukan SEA kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 1:36 PM