Nor Azizah menggunakan pendekatan tersendiri untuk menarik minat anak muridnya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kelas di sebuah sekolah di Kuala Pilah. Foto Ihsan Nor Azizah Abd Aziz
Nor Azizah menggunakan pendekatan tersendiri untuk menarik minat anak muridnya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kelas di sebuah sekolah di Kuala Pilah. Foto Ihsan Nor Azizah Abd Aziz
Redzuan Muharam


"SAYA gunakan pendekatan begitu bagi menarik minat murid untuk mempelajari dan menghayati syair kerana tidak mahu mereka bosan ketika di dalam kelas," kata Nor Azizah Abd Aziz, 33.

Nor Azizah yang juga guru bahasa Melayu di sebuah sekolah di Kuala Pilah memberi reaksi mengenai rakaman video dia melagukan syair bertajuk Malaysia Tercinta ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kelas.

Dia memuat naik video berdurasi dua minit 32 saat itu di akaun Facebook (FB) miliknya pada Isnin lalu dan sehingga kini meraih lebih 296,000 tontonan dan 3,000 tanda suka serta dikongsi 4,300 kali oleh warganet.

Bercerita lanjut, Nor Azizah berkata, video itu dirakamnya sendiri ketika mengajar di kelas murid tahun empat dengan tujuan menjadikannya sebagai rujukan pada masa akan datang.

"Sebenarnya, saya sudah lama menggunakan pendekatan didik hibur itu sebagai satu cara untuk menarik minat murid terutama yang berada di 'kelas belakang'.

"Cuma, syair itu dilagukan dengan irama hiasan atau lebih dikenali sebagai irama ‘Siti Zawiyah’ dan bukannya irama ‘Selendang Delima’ yang biasa didengari sebelum ini.

"Bila dilagukan, syair itu lebih mudah melekat di minda murid dan membuatkan mereka jatuh cinta dengan puisi tradisional," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sejak memperkenalkan pendekatan itu, Nor Azizah dapat melihat peningkatan pelajaran murid terutama mereka yang dulunya tidak berminat tetapi kini sudah boleh melagukan syair dengan baik.

Katanya, perubahan itu membuatkannya terharu dan menunjukkan syair boleh diterima generasi kini seandainya guru bijak mencari pendekatan yang seiring dengan trend semasa.

"Zaman sudah berubah, saya perlu mengikut rentak mereka (murid) supaya sesi P&P berjalan dengan lancar dan menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

"Penggunaan mikrofon dan alat pembesar suara pula bertujuan membantu murid fokus dan mendengar suara saya dengan lebih jelas.

"Saya pasti bukan saya seorang tetapi peralatan itu juga digunakan guru lain cuma yang membezakannya adalah cara pengajaran masing-masing," katanya.

Sementara itu, Nor Azizah berkata, sejak videonya tular di media sosial, banyak maklum balas positif yang diterima dan sokongan warganet memberinya semangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik dengan lebih baik.

"Saya memuat naik video berkenaan di akaun FB peribadi dan kumpulan Sahabat Guru Malaysia. Mungkin daripada situ, ramai guru berkongsi video itu hingga ia tular.

"Berasa agak terkejut juga dan pada masa sama tidak sangka dengan maklum balas diterima, saya gembira kerana ilmu diajar dapat disebarkan kepada masyarakat.

"Diharap, perkongsian itu membuka mata masyarakat terutama generasi muda untuk menghayati syair yang boleh dilagukan dengan pelbagai irama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 9:30 PM