Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Lelaki yang melarikan diri daripada tahanan polis di Kompleks Mahkamah Georgetown pada29 Ogos lalu ditahan di Dang Wangi, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan pada jl4 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) hasil maklumat awam yang diterima.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam satu kes pecah rumah di kawasan Datuk Keramat pada Julai lalu.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Georgetown pada 29 Ogos lalu untuk proses perbicaraan sebelum dia bertindak melarikan diri dari tahanan polis ketika dibawa ke kereta.

"Susulan penahanan ini, suspek dibawa pulang ke IPDTL untuk tindakan selanjutnya dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah.

"Suspek akan disiasat mengikut Seksen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:29 AM