Khairul Najib Asarulah Khan


LELAKI maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta Stesen Bas Terminal One, Seremban, petang hari ini.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, mangsa berusia 54 tahun terbabit dikatakan datang bersama anak untuk berjumpa seorang rakannya.

Difahamkan, lelaki itu meminta anaknya menurunkan dia dari kereta terlebih dulu sementara mencari tempat letak kenderaan, sebelum dia ditemui terjatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

Saksi, Jasri Arshad, 51, berkata, dia terkejut mendengar dentuman kuat dan menyangka sampah dibuang dari tingkat atas.

"Ketika kejadian, saya bersama rakan sedang minum petang di gerai di stesen bas ini. Apabila mendengar bunyi itu, saya segera menoleh dan terkejut melihat seorang lelaki terbaring.

"Saya menghampiri dan melihat dia sudah tidak sedarkan diri. Rakan saya menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 8:09 PM