Myvi yang melanggar tembok dinding di kawasan parkir di tingkat sembilan Terminal 1. FOTO Ihsan Polis
Myvi yang melanggar tembok dinding di kawasan parkir di tingkat sembilan Terminal 1. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Peniaga cedera di kepala dan tangan selepas terkena zink akibat dihempap tembok dinding yang runtuh dari kawasan parkir di tingkat sembilan Terminal 1, di sini, gara-gara dilanggar sebuah kereta, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, lelaki berusia 22 tahun dikatakan mahu keluar dari tempat letak kereta, namun dipercayai tertekan pedal minyak dan terbabas melanggar tembok.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tembok yang dilanggar terjatuh ke aras bawah dan terkena pada dua gerai.

"Polis menerima laporan satu kemalangan berlaku di tingkat sembilan, kawasan tempat letak kenderaan Stesen Bas Terminal 1, membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun hendak bergerak dari kotak parkir di tingkat sembilan menuju ke lobi utama Terminal satu seorang diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan dikatakan hilang kawalan akibat pemandunya tertekan pedal minyak lalu terbabas melanggar tembok bangunan.

"Pelanggaran itu mengakibatkan tembok yang dilanggar terjatuh di atas dua gerai yang berada di tingkat aras tanah.

"Selain itu, runtuhan tembok juga menyebabkan bumbung zink sebuah gerai terkoyak dan terkena wanita berusia 58 tahun," katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan manakala mangsa wanita cedera di kedua-dua bahagian tangan tangan dan luka di kepala.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 9:47 PM