CHE Adam (berdiri, empat kiri) bergambar bersama peserta selepas menjalani latihan kecergasan di puncak Gunung Tebu.
CHE Adam (berdiri, empat kiri) bergambar bersama peserta selepas menjalani latihan kecergasan di puncak Gunung Tebu.
Zaid Salim

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu mengadakan latihan kecergasan sebagai persediaan menghadapi kecemasan dan bencana seperti banjir dan kes membabitkan kawasan pergunungan, semalam.

Latihan berkenaan dilakukan dengan membabitkan 20 anggota lelaki dan wanita dengan menjadikan Gunung Tebu, di Besut sebagai lokasi latihan

Pengarahnya, Che Adam Abd Rahman berkata, program itu turut melibatkan golongan media.

"Latihan kecergasan perlu bukan sahaja kepada anggota APM sebaliknya penting bagi golongan media yang adakalanya memerlukan tenaga dan kudrat ketika melakukan tugasan," katanya ketika ditemui Harian Metro yang turut menyertai program berkenaan.

"Alhamdulillah, semua peserta yang menyertai program ini berjaya sampai ke puncak Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 dari paras laut antara 3 hingga 4 jam sebelum turun semula selepas berehat selama 1 jam di puncak berkenaan.

"Program ini adalah satu kejayaan kerana semua peserta tidak menghadapi masalah atau kecederaan untuk sampai ke puncak.

"Saya bangga dengan semangat peserta termasuk golongan media kerana pendakian Gunung Tebu memerlukan tenaga, kudrat dan stamina yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, selain persiapan menghadapi bencana, program berkenaan juga adalah sebagai persiapan misi menawan puncak Rante Mario di pergunungan Latimojong, Sulawesi Selatan, Indonesia dengan ketinggian 3,478 meter dari paras laut.

Katanya, program anjuran bersama Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan) dan APM dengan kerjasama Kerajaan Negeri itu diadakan selama lapan hari bermula 30 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:36 PM