Nursyahirah Marzuki


SERAMAI 10 rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden kebakaran di Clifton, Christchurch, New Zealand selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang pada jam 5.27 pagi hari ini.

Semua mangsa kebakaran yang berumur dalam lingkungan dua hingga 59 tahun itu tiba dari Auckland, New Zealand menerusi penerbangan AirAsia X D7 207.

Mereka ialah Rasol Abu Bakar, 59; Ramlah Junus, 59; Lokman hakim Ahmad subki, 32; Rabiatul Adawiyah Rasol, 32; Muhammad Nur Adli Rasol, 30; Siti Aisyah Komaruzaman, 21; Muhammad Nur Asyraf, 25; Nur Afifah Rasol, 22; Altaf Ad Darini, 4 dan Hana Al Hawla, 2.

Ketibaan mereka disambut oleh kakitangan AirAsia X Berhad yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Benyamin Ismail.

Benyamin berkata, pihaknya mengambil langkah untuk membantu mangsa terbabit selepas dihubungi wakil Tourism Malaysia di New Zealand.

"AirAsia X terpanggil untuk turut sama memainkan peranan dengan memberi bantuan tiket penerbangan pulang secara percuma kepada semua mangsa bagi meringankan beban mereka.

"Sepatutnya penerbangan mereka dijadualkan pada Rabu lalu namun, ia terpaksa dibatalkan kerana dua daripada mereka terpaksa ditahan di Hospital Christchurch akibat kecederaan," katanya hari ini.

Katanya, bantuan penerbangan itu adalahsatu daripada usaha pihaknya untuk memberikan bantuan kepada mereka selepas semua barang dan wang ringgit tidak dapat diselamatkan.

"Bantuan ini bukan hanya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi lebih kepada bantuan kemanusiaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 11:16 AM
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail (dua dari kiri) bertanya khabar kepada Rasol Abu Bakar dan keluarganya yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Clifton Christchurch, New Zealand tiba di klia2. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail (dua dari kiri) bertanya khabar kepada Rasol Abu Bakar dan keluarganya yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Clifton Christchurch, New Zealand tiba di klia2. FOTO AHMAD IRHAM MOHD NOOR