PEKERJA kedai dobi melihat pakaian milik pelanggan musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk, Panji, Kota Bharu, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
PEKERJA kedai dobi melihat pakaian milik pelanggan musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk, Panji, Kota Bharu, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

SEORANG pemilik kedai dobi berdepan kerugian besar apabila premis itu musnah dalam kebakaran di Kampung Teluk, Panji, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang, empat mesin basuh, dua mesin pengering dan seterika hangus, selain pakaian milik pelanggan.

Mangsa Noriza Awang, 44, berkata sebelum kejadian dia singgah ke kedainya untuk mengambil toto milik pelanggan pada 12 tengah hari.

"Saya kemudian pulang ke rumah di Kampung Kok Keli, Tumpat. Tidak lama selepas tiba di rumah, ada seorang peniaga berhampiran kedai menelefon saya memaklumkan kebakaran itu.

"Berikutan itu, saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba mendapati api marak membakar bahagian dalam kedai, manakala banyak pakaian pelanggan yang musnah.

"Pening saya memikirkan kerugian besar yang bakal ditanggung termasuk pakaian milik pelanggan yang musnah," katanya.

Dia juga sedih mengenangkan perniagaan yang diusahakan sejak lima tahun lalu berdepan musibah berkenaan.

"Saya memohon maaf kepada semua pelanggan di atas kejadian yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azlan Zainal berkata, pihaknya menerima kecemasan pada 2.20 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

Katanya, seramai 15 anggotanya dihantar ke tempat kejadian dengan dibantu 15 anggota dari BBP Pengkalan Chepa dan pasukan bomba sukarela.

"Tindakan pantas anggota berjaya mengelakkan api daripada merebak ke kedai bersebelahan. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 3 petang.

"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 6:31 PM