Anggota bomba memadam sisa kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah dan sebuah kedai runcit di Kampung Tebobon Bukit, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba memadam sisa kebakaran yang memusnahkan tujuh rumah dan sebuah kedai runcit di Kampung Tebobon Bukit, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 30 penduduk hilang tempat tinggal apabila tujuh rumah dan sebuah kedai runcit di Kampung Tebobon Bukit di sini, musnah dalam kebakaran, pada 2.20 pagi hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Difahamkan, kebakaran bermula di kedai runcit sebelum merebak ke rumah berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.27 pagi dan pasukan digerakkan serta dibantu anggota BBP Kinabalu.

Katanya, pihaknya tiba di lokasi pada 2.36 pagi dan mendapati api marak membakar beberapa rumah.

"Operasi pemadaman dilakukan segera dan kebakaran berjaya dikawal pada 4.36 pagi. Kebakaran memusnahkan tujuh rumah dan sebuah kedai runcit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau memberitahu operasi tamat sepenuhnya pada 8.03 pagi dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 12:30 PM