NAJIB melihat model pembinaan bangunan baru SBJK.
NAJIB melihat model pembinaan bangunan baru SBJK.
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit mengubah kawasan itu menjadi kawasan pendidikan berkualiti untuk semua.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, penubuhan SBJK untuk kanak-kanak gelandangan dan miskin tegar mentrans formasi Chow Kit sebagai lokasi sekolah berkualiti.

“SBJK ada ciri unik, ia manifestasi kerajaan membuka peluang pendidikan untuk semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Ini kerana kita sedar bahawa faktor mobiliti sosial berkesan dan bermakna jika hendak mengubah kedudukan dan untung nasib seseorang insan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Lawatan Kerja Perdana Menteri ke SBJK di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa serta Ikon SBJK Datuk Aznil Nawawi.

SBJK yang mula beroperasi pada 19 Ogos 2013 adalah sekolah percuma disediakan kerajaan untuk kanak-kanak berusia empat hingga 19 tahun dengan majoriti tanpa dokumen pengenalan diri, tercicir daripada sistem persekolahan harian, yatim piatu, gelandangan serta menghadapi masalah sosial.

Kurikulum dilaksanakan di SBJK adalah Kurikulum Standard Kebangsaan yang diubah suai mengikut keperluan, persekitaran, tahap dan sosiobudaya supaya murid mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk diaplikasikan dalam kehidupan mereka sebagai pembelajaran sepanjang hayat.

Ketika melawat SBJK 17 Jun tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk pembangunan sekolah termasuk asrama.

Najib berkata, beliau komited melihat pembangunan sekolah yang menempatkan 152 murid itu berjalan lancar dan melakukan lawatan kerja semalam bagi melihat perkembangannya.

Katanya, SBJK menerima banyak lawatan daripada delegasi luar negara seperti Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Afrika Selatan yang ingin mengkaji keunikan sekolah itu untuk golongan kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 6:34 AM