BERSAMA sebahagian pelajar SBJK.
BERSAMA sebahagian pelajar SBJK.
PELAJAR diberi peluang menaiki kereta keluaran PROTON.
PELAJAR diberi peluang menaiki kereta keluaran PROTON.
BERGAMBAR di hadapan kilang PROTON bersama pelajar SBJK.
BERGAMBAR di hadapan kilang PROTON bersama pelajar SBJK.
Oleh Rosman Shamsudin


Atas rasa prihatin dan keinsafan mendorong pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi bekerjasama dengan DRB-Hicom dan alumni pelajar Prince Road School membawa 87 pelajar dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Kuala Lumpur melawat kilang Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (PROTON) di Tanjung Malim, Perak , baru-baru ini.

Program yang turut disertai pengacara terkenal Fara Fauzana itu membawa anak gelandangan berusia empat hingga 19 tahun bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada masyarakat.

Aznil yang juga bekas pelajar Prince Road School berkata, lawatan itu yang pertama buat pelajar terbabit dan hatinya tersentuh melihat mereka teruja.

“Sebelum ini saya bersama bekas pelajar Prince Road School menganjurkan program membeli-belah sebelum perayaan dan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan anak gelandangan ini.

“Mereka tidak bersalah dan mereka sendiri tidak mahu diahirkan dalam keadaan serba daif. Masyarakat tidak boleh sesekali menghukum mereka dan kini menjadi tanggungjawab bersama untuk pastikan mereka juga berhak hidup sempurna seperti orang lain,” katanya yang juga mesra disapa Pak Nil.

Aznil berkata, pihak SBJK memerlukan dana bagi membina asrama untuk memudahkan anak gelandangan ini belajar dalam suasana selesa dan tapak pembinaan asrama sudah pun dikenal pasti iaitu di hadapan sekolah terbabit.

“Kita berharap ahli korporat dan orang perseorangan yang berhajat menghulur derma bagi membina asrama itu agar tampil ke hadapan supaya masa depan anak gelandangan ini terjamin,” katanya.

Dalam lawatan itu, anak gelandangan terbabit turut diberi peluang menaiki kereta Proton dan melawat sekitar kilang dan Proton City.

Sementara itu, Pengetua SBJK Zulkarnai Fauzi berkata, inisiatif Aznil bersama DRB-Hicom dan alumni Prince Road School wajar dipuji dan menjadi contoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi memastikan pelajar SBJK tidak rasa tersisih.

Katanya, SBJK berstatus sekolah harian kerajaan yang ditubuhkan dua tahun lalu mempunyai 135 pelajar terdiri daripada mereka yang berusia empat hingga 19 tahun kini mengikuti pembelajaran pelbagai gred dalam pelbagai peringkat usia di dalam satu kelas.

“Mereka terdiri daripada kanak-kanak dilahirkan tanpa dokumen, murid keciciran, yatim piatu yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial.

“Kaedah pembelajaran dan pengajaran menggunakan model yang dimodifikasikasikan daripada Kurikulum Standard Kebangsaan dengan menggunakan pelbagai kaedah serta pendekatan untuk menarik anak gelandangan ini ke sekolah setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 8:39 AM