Nadzreen Shah Mat Salim


Bangi: Tempuh detik cemas terkurung di dalam lif hampir 20 minit. Itu situasi panik dialami 12 individu yang terperangkap di dalam lif di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, di sini.

Dalam kejadian jam 6.45 petang kelmarin, seramai 12 individu berusia lingkungan dua hingga 39 tahun terperangkap di dalam lif berkenaan berikutan masalah teknikal dialami.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.47 petang daripada orang awam.

“Sebaik menerima laporan itu, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Ketika anggota tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati terdapat 12 individu terperangkap termasuk seorang bayi berusia dua tahun,” katanya.

Mohd Sani berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu lif itu.

“Kami mengambil masa satu minit untuk membuka pintu lif.

“Semua mangsa dikeluarkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:55 AM