Lim dan Phee pada sidang di Pulau Pinang baru-baru ini.
Lim dan Phee pada sidang di Pulau Pinang baru-baru ini.
Hayati Ibrahim


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh 48 jam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat berikutan kenyataan fitnah mengaitkan penahanan EXCO kerajaan negeri Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai 'haram'.

SPRM dalam kenyataan berkata, tempoh 48 jam itu bermula daripada kenyataan ini dikeluarkan atau tindakan selanjutnya akan diambil terhadapnya.

Menurutnya, merujuk laporan berita bertajuk 'Sg Lembu illegal factory: Guan Eng claims ignorance over DoE's letter to MPSP and Norlela' yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, SPRM menyifatkan kenyataan itu berunsur fitnah.

"Selepas meneliti audio dan video pertemuan Lim dengan pihak media pada 24 Ogos di

Komtar, Pulau Pinang, SPRM mendapati beliau dengan jelas menggunakan perkataan 'penahanan haram oleh SPRM' apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu.

"SPRM memandang serius kenyataan 'penahanan haram oleh SPRM' dan beranggapan ia adalah satu fitnah jahat yang bertujuan memburukkan nama baik SPRM serta mencemar dan menjejaskan reputasi SPRM," katanya hari ini.

Katanya, SPRM turut percaya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Phee tidak pernah menyatakan penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai ‘€˜penahanan haram’€™.

Selain itu, katanya, perlu ditegaskan SPRM sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos berikutan keputusan mahkamah yang sudah membatalkan penahanan reman terhadap Phee.

"Memandangkan rayuan ini belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah, maka sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak berkaitan penahanan itu adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Phee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri bersama dua beranak berusia 70 dan 37 tahun yang juga pengarah dan pengurus sebuah kilang haram di Sungai Lembu, Penanti direman lima hari.

Ia susulan serbuan SPRM bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kilang memproses habuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon.

Bagaimanapun, perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga mereka dibatalkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 8:33 PM