Penumpang Proton Iswara maut selepas kenderaan dinaiki melanggar pokok kelapa sawit. FOTO ihsan polis
Penumpang Proton Iswara maut selepas kenderaan dinaiki melanggar pokok kelapa sawit. FOTO ihsan polis
Mohamad Fahd Rahmat


PENUMPANG Proton Iswara berusia 47 tahun maut selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan dan melanggar pokok kelapa sawit di Jalan Ladang Chaah-Yong Peng, Batu Pahat, 11.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenali sebagai Losius Melambai berasal dari Kota Marudu, Sabah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu, Josnie Sunan, 31, pula parah dan dihantar ke Hospital Segamat.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu hilang kawalan dan melanggar pokok kelapa sawit di kiri jalan menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk.

“Penumpang meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:28 PM