GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


WANITA sarat mengandung lapan bulan calar dan luka di kedua-dua tangan dan lutut selepas diragut penjenayah di bank di Jalan Molek, Taman Molek, Johor Bahru, 19 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, kejadian pada 9.30 malam ketika mangsa berumur 24 tahun selesai mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Katanya, dalam kejadian itu mangsa didatangi suspek yang merampas beg disandang dan terus melarikan diri dengan membonceng motosikal.

"Kenderaan itu menunggu di tepi jalan yang ditunggang oleh seorang lagi suspek," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, mangsa cedera kedua-dua tangan dan lutut akibat kejadian itu dan kerugian wang tunai kira-kira RM1,484.

"Mangsa yang sarat mengandung lapan bulan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Katanya, saksi kejadian serta orang ramai diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi talian Hotline Polis IPD Seri Alam ditalian 07-3864222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 2:27 PM