AHLI STBC bersama guru dan pelajar asrama pada program Konvoi Kembara Kibar Jalur Gemilang  di SMK Tinggi, Klang, semalam.
AHLI STBC bersama guru dan pelajar asrama pada program Konvoi Kembara Kibar Jalur Gemilang di SMK Tinggi, Klang, semalam.
Nur Izzati Izzah Nadzi


Klang: Konvoi Kembara Kibar Jalur Gemilang yang disertai 20 motosikal berkuasa tinggi dan tiga pacuan empat roda memulakan jelajah mereka di pekarangan Dewan Putera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi, Klang, di sini, semalam.

Pesertanya menyerahkan 10 Jalur Gemilang dan bendera Selangor serta satu huruf daripada perkataan terbilang sebagai gimik pelancaran kepada sekolah yang mempunyai asrama harian.

Penyelaras program, Rosli Kabil berkata, kembara empat hari menjelajah ke-10 daerah yang mempunyai asrama harian di negeri ini dan berakhir di SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi, 24 Ogos ini.

“Program kembara ini memasuki tahun ketiga dan asrama harian itu dipilih bagi menyemarakkan sambutan ambang kemerdekaan ke-60.

“Kita tidak mahu asrama harian sepi dan suram dan menerusi penyerahan bendera, mereka memasang dan mengibarkannya sepanjang sambutan bulan kemerdekaan. Kita menyerahkan satu huruf ‘t’ bagi simbolik terbilang dan huruf itu dicantumkan pada hari penutupan kembara,” katanya.

Pada majlis itu, bendera diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, SMK Meru dan SMK Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Konvoi kembara hari pertama itu diketuai Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri Abdul Aziz Abdul Jalil yang bergerak ke SMK Agama Kuala Selangor dan SMK Dato’ Mustaffa, Sabak Bernam.

Kata Rosli, konvoi kembara kali ini disertai penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Selangor Teacher Bike Club (STBC).

“Kita mengumpulkan ahli kelab itu dalam kalangan pengetua, guru, pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan PPD,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:37 AM