LOKASI kejadian lelaki cuba terjun dari tingkat dua bangunan Plaza Utama Alamesra, Manggatal.
LOKASI kejadian lelaki cuba terjun dari tingkat dua bangunan Plaza Utama Alamesra, Manggatal.
Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Tertekan apabila dianggap tidak bertanggungjawab oleh ibu bapa, seorang lelaki bertindak mengelar lidahnya sendiri sehingga luka sebelum cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat dua Plaza Utama Alamesra, Manggatal, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki berusia 22 tahun yang cedera di bahagian lidah terbabit sempat diselamatkan daripada terjun bangunan oleh sepupunya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, sebelum kejadian, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki mencederakan dirinya dan cuba membunuh diri.

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu mencederakan dirinya menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 25 sentimeter (sm) dan cuba membunuh diri dengan terjun dari bilik sewanya di bangunan berkenaan.

“Sebelum kejadian, lelaki terbabit yang berada di dalam bilik itu dilihat dalam keadaan resah dan kurang waras,” katanya, semalam.

Menurut Chandra, siasatan mendapati, punca lelaki itu berkelakuan begitu disebabkan mengalami tekanan perasaan.

“Dia dipercayai mendapat tekanan daripada keluarga terutama ayah dan ibu yang selalu menyalahkannya dan menganggapnya seorang yang tidak bertanggungjawab.

“Ketika kejadian, sepupu lelaki itu turut berada di lokasi terbabit dan menyelamatkannya daripada cuba membunuh diri,” katanya.

Chandra berkata, lelaki itu dilihat dalam keadaan tertekan sejak seminggu lalu dan berubah menjadi seperti tidak waras.

“Sepupunya memaklumkan lelaki terbabit tidak pernah berkelakuan pelik dan mereka sudah tinggal bersama sejak lapan bulan lalu.

“Lelaki itu mula tertekan sejak seminggu lalu dan kadang-kadang bercakap sendiri. Dia juga tidak pernah berkongsi masalah kepada sepupunya walaupun pernah ditanya,” katanya.

Katanya, lelaki itu kemudian dihantar terus ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) oleh anggota polis dan sepupunya untuk mendapatkan rawatan.

“Lelaki itu menerima tujuh jahitan di lidah dan dirawat di hospital sebagai pesakit luar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 7:24 AM