MUHAMAD Shahmeer menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima.
MUHAMAD Shahmeer menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima.
Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul, 22 pernah mempersoalkan mengapa kedua ibu bapanya mahu dia mempelajari bahasa Mandarin dan bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ketika kecil.

Namun, selepas 15 tahun, baru mahasiswa jurusan perakaunan tahun kedua itu mengerti semua yang dilakukan ibu bapa demi kebaikan dan masa depannya sendiri, malah ia memberi tuah kepada anak muda berkenaan.

Ia terbukti apabila anak kacukan Melayu dan Cina dari Georgetown, Pulau Pinang itu mendapat tempat kedua peringkat global pada pertandingan The 16th World Chinese Bridge Chinese Proficiency Competition for Foreign College Students yang berlangsung di China selama sebulan bermula 10 Julai lalu.

Lebih membanggakan, dia menerima trofi kemenangan untuk peringkat Asia, selain Anugerah Populariti dan Kepetahan Terbaik pada pertandingan berkenaan.

“Saya fasih berbahasa Hokkien dan mula bertutur bahasa Mandarin dari tahun satu selepas ibu bapa saya menghantar ke SJKC. Pada mulanya saya sering bertanya kepada mereka mengapa hantar ke SJKC.

“Rupanya rezeki saya ke China untuk menyertai dan mengharumkan nama negara selepas memenangi pertandingan itu,” katanya ketika ditemui media selepas tiba dari Beijing, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Kuala Lumpur (KLIA) jam 11 malam, kelmarin.

Menerusi kemenangan itu, anak kedua daripada tiga beradik terbabit membawa pulang sijil penghargaan, selain biasiswa penuh melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi di republik itu.

Muhamad Shahmeer turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi status akaun Twitter beliau 13 Ogos lalu.

Muhamad Shahmeer berkata, pertandingan terdiri daripada empat pusingan antaranya pengucapan (dalam bahasa Mandarin), penulisan, persembahan, peperiksaan, selain perlu menghadiri kelas mempelajari budaya serta sejarah China.

Katanya, sebelum berlepas hampir setiap hari dia berlatih di UiTM dibantu pensyarah.

“Pada i pusingan persembahan, saya menyampaikan lagu dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Ditanya persaingan daripada peserta lain, Muhamad Shahmeer mengakui semua 145 pelajar dari 112 negara berbakat, sekali gus bersaing dengan hebat.

“Pertandingan bermula dengan peringkat Asia terlebih dahulu dan semua peserta dari negara Asia bertanding seterusnya barulah bersaing di peringkat global,” katanya.

Mengenai perancangannya, dia berkata, mahu menamatkan pengajiannya di UiTM.

“Saya pernah mengeluarkan single sebelum ini dan berharap, dapat mengeluarkan dalam bahasa Melayu serta Mandarin,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif On Muse Sdn Bhd, Ong Peng Chu berkata, syarikat rakamannya mencungkil bakat Muhamad Shahmeer serta melihat potensi pelajar terbabit dan membawanya menyertai pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 6:03 AM