MUHAMAD Shahmeer selamat tiba di KLIA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MUHAMAD Shahmeer selamat tiba di KLIA. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi


“MASA kecil dahulu, ibu mahu saya belajar bahasa Mandarin dan bersekolah Cina namun saya mempersoalkannya.

"Rupanya ia rezeki kepada saya dapat pergi ke China dan mengharumkan Malaysia apabila menang pertandingan serta berjaya mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran di institusi pengajian di sana," kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul, 22.

Mahasiswa jurusan perakaunan itu menang tempat kedua pada pertandingan ‘The 16th World Chinese Bridge Chinese Proficiency Competition for Foreign College Students’ yang berlangsung di China.

Selain itu, dia turut menerima Anugerah Kepetahan Terbaik pada pertandingan berkenaan yang berlangsung sejak 10 Julai lalu.

Muhamad Shahmeer berkata, pertandingan khas untuk penuntut asing itu terdiri daripada empat pusingan antaranya ucapan (dalam bahasa Mandarin), penulisan, persembahan dan peperiksaan selain perlu menghadiri kelas mempelajari budaya serta sejarah China.

"Di dalam kelas, kami banyak didedahkan dengan budaya, adat serta sejarah China yang saya tidak pernah pun tahu serta tidak pernah mempelajarinya.

"Pada pertandingan bagi pusingan persembahan, saya memilih nyanyian dengan menyampaikan lagu dalam bahasa Mandarin," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Kuala Lumpur (KLIA), Sepang selepas tiba dari Beijing, China, 11 malam tadi.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif On Muse Sdn Bhd, Ong Peng Chu berkata, syarikat rakamannya mencungkil bakat Muhamad Shahmeer melihat potensi pelajar terbabit serta membawanya bagi menyertai pertandingan itu.

"Muhamad Shahmeer sudah menang peringkat kebangsaan di Malaysia dan seterusnya, berjaya menyertai pertandingan di China.

"Pertandingan ini khusus untuk peserta asing bukan penutur bahasa Cina membabitkan peserta dari pelbagai negara," katanya.

Kejayaan Muhamad Shahmeer mengharumkan nama Malaysia turut menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi status akaun Twitter beliau pada 13 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 11:20 AM