Husni bersama Pengarah Wilayah Timur Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Noreha Derin membantu seorang pengguna LPT2 mengenakan kad Touch & GO selepas pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Gemuruh. FOTO Rosli Ilham
Husni bersama Pengarah Wilayah Timur Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Noreha Derin membantu seorang pengguna LPT2 mengenakan kad Touch & GO selepas pelaksanaan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Gemuruh. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SEBANYAK RM4 juta dibelanjakan sejak tahun lalu bagi membaiki pagar Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang rosak bagi mengelak daripada dicerobohi lembu dan binatang liar.

Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf berkata, secara keseluruhannya pihaknya membaiki hampir 30 kilometer pagar yang rosak sepanjang lebuh raya dari Jabor, Kemaman hingga ke Gemuruh, Kuala Terengganu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau sekiranya masih berlaku kejadian pagar runtuh atau rosak kerana ia boleh menyumbang kepada pencerobohan haiwan ternakan.

“Kita memandang serius perkara itu kerana pencerobohan binatang boleh membahayakan nyawa pengguna lebuh raya," katanya di majlis pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Elektronik (ETC) di 10 Plaza Tol LPT2, dekat Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, hari ini.

Mengenai pelaksanaan ETC, Husni berkata, ia dapat menjimatkan masa pengguna lebuh raya dan turut dapat membantu mengatasi kesesakan di plaza tol.

"Semua 10 laluan di plaza tol ini juga sudah dilengkapi sistem ini sama ada pengguna boleh menggunakan Touch 'n Go atau SmartTAG.

"Kakitangan kami juga turut ditambah dan bersedia untuk dengan segala kemungkinan termasuk golongan pengguna jalan raya yang belum biasa dengan penggunaannya," katanya.

Menurutnya, sebanyak 14,000 kenderaan menggunakan laluan LPT2 sehari dan akan menjadi sesak terutama pada musim cuti sekolah serta musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 5:27 PM