Zulfa Mohamad


UMAT Islam tidak perlu gusar dengan pindaan Rang Undang-Undang Membaharui (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 (Akta 164) kerana ia hanya untuk pasangan bukan Islam yang sudah berkahwin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pindaan akta berkenaan tidak sedikit pun menjejaskan pasangan Islam, sebaliknya memberi jalan keluar kepada pasangan bukan Islam apabila salah seorang daripadanya memeluk Islam.

Katanya, apabila salah seorang memeluk Islam, perkahwinan mereka 'tergantung', tetapi mereka tidak boleh membubarkan perkahwinan di Mahkamah Syariah kerana dari segi undang-undang mereka masih suami isteri.

"Jadi pindaan Akta 164 akan membolehkan pasangan berkenaan membubarkan perkahwinan selain menyelesaikan masalah tuntutan hadanah dan harta antara pasangan terbabit," katanya selepas merasmikan Persidangan Wanita UMNO Tasek Gelugor, hari ini.

Beliau berkata, pindaan akta berkenaan akan memberi jalan keluar kepada mualaf untuk meneruskan kehidupan walaupun pasangannya enggan memeluk Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:32 PM