Hadzlihady Hassan


Georgetown: “Sejurus tiba di bengkel, saya terkejut melihat motosikal diletakkan di luar premis musnah terbakar,” kata pemilik bengkel yang mahu dikenali sebagai William, 40.

Dia menceritakan kejadian 26 motosikal hangus dalam kebakaran berhampiran sebuah hotel di Jalan Siam, di sini, pagi semalam.

Menurut William, dia yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke bengkelnya dan terkejut apabila melihat motosikal diletakkan di luar premis hangus keseluruhannya.

“Saya tidak tahu sama ada ini perbuatan khianat atau sebaliknya namun berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan menyeluruh.

“Semua motosikal sebenarnya dibawa ke bengkel ini untuk tuntutan insurans kerana kemalangan dan saya tidak tahu kerugian ditanggung,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, jika ada unsur khianat, dia berharap polis dapat menahan individu yang melakukannya dengan segera.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, 26 motosikal di luar bengkel terbabit hangus manakala dua kereta diletakkan di garaj hotel turut terbakar.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.35 pagi dan tiba di lokasi 14 minit kemudian dengan kekuatan 21 anggota.

Menurutnya, api dapat dikawal sembilan minit kemudian dan padam sepenuhnya jam 6.06 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Setakat ini, kami belum mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian juga tidak diketahui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 5:18 AM
MOTOSIKAL yang hangus dalam kebakaran dekat sebuah hotel di Jalan Siam, semalam.
MOTOSIKAL yang hangus dalam kebakaran dekat sebuah hotel di Jalan Siam, semalam.