SEBAHAGIAN  motosikal  dan tiga  kereta musnah dalam kebakaran.
SEBAHAGIAN motosikal dan tiga kereta musnah dalam kebakaran.
Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: “Saya dengar bunyi riuh dengan jeritan beberapa penduduk di luar rumah dan terus bergegas keluar. Sebaik keluar saya lihat api sedang marak dan membakar motosikal,” kata Liew Chee Siang, 35, menceritakan detik cemas apabila 38 motosikal rentung di parkir Flat Taman Jelutong di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, beberapa penduduk cuba memadam kebakaran, namun gagal kerana api marak pantas sebelum mereka menghubungi bomba.

“Keadaan ketika itu agak cemas dengan bunyi letupan kecil kedengaran beberapa kali membuatkan penduduk menjauhi kawasan kebakaran.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat motosikal dan kereta milik penduduk hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Zulkifli Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.22 pagi dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati sebahagian motosikal di kawasan parkir tingkat bawah blok rumah pangsa berkenaan terbakar.

“Selain 38 motosikal yang hangus keseluruhan, sebuah Proton Saga, Toyota Camry serta Toyota Harrier masing-masing terbakar 10 peratus selain sebuah stor turut dijilat api.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kes itu mempunyai unsur khianat.

“Kita masih menunggu laporan daripada forensik bomba untuk mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:18 AM