Junaidi Ladjana


DUA tekong nelayan Vietnam ditahan cuba menyogok pegawai APMM sebanyak RM3,400 selepas didapati bot mereka memiliki lesen mencurigakan di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu, jam 9.10 pagi, kelmarin.

Pengarah APMM Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, ketika Kapal Maritim (KM) Banggi menjalankan rondaan di kawasan lapan batu nautika barat laut Pulau Mengalum mengesan dua bot nelayan Vietnam.

"KM Banggi menghampiri untuk melakukan pemeriksaan dan didapati lesen yang dimiliki oleh kedua-dua bot nelayan itu yang membawa seramai 38 kru warga Vietnam mencurigakan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, tekong kedua-dua bot cuba memberi suapan sebanyak RM3,400 kepada pegawai maritim agar bot mereka dilepaskan namun tindakan itu tidak diendahkan," katanya hari ini.

Adam berkata, pemeriksaan lanjut, kedua-dua bot didapati terdapat hampir 1,800 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis, kima (195.5 kg), cengkerang kima (110 kg) dan terdapat hidupan laut yang terlarang.

"Kedua-dua bot nelayan Vietnam bersama 38 kru berusia 18 hingga 46 tahun itu kemudian diiringi masuk ke Jeti APMM Teluk Sepanggar untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Menurutnya, dengan tangkapan itu, kes pencerobohan bot nelayan asing terutama dari Vietnam dapat dibanteras dan usaha ini akan diteruskan bagi menjaga perairan negara serta hasil sumber daripada diceroboh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 5:14 PM