Omar Osman


LELAKI berusia 54 tahun yang ditahan selepas dipercayai memperkosa cucu saudara yang juga anak angkatnya berumur 14 tahun sehingga mengandung di Sungai Petani, disambung reman enam hari bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, suspek yang juga pekerja kontrak ditahan polis susulan laporan dibuat ibu mangsa pada 15 Julai lalu selepas menerima maklumat mengenai keadaan anaknya itu yang mengandung enam bulan.

Menurutnya, suspek sebelum ini direman enam hari yang tamat hari ini sebelum tempoh reman disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Portal berita Harian Metro pada 26 Julai lalu melaporkan lelaki itu ditahan di Sungai Petani selepas dipercayai memperkosa cucu saudara sehingga mengandung.

Mangsa berada di bawah jagaan suspek sejak berusia sembilan tahun dan mendakwa dirogol lelaki itu pada Disember lalu ketika bersendirian di rumah.

Ketika kejadian, mangsa mendakwa bekalan elektrik di rumah terputus dan suspek mengambil kesempatan itu masuk ke bilik mangsa sebelum merogolnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:26 PM