Pistol buatan sendiri dan peluru hidup yang dirampas daripada seorang lelaki berhampiran stesen minyak di Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi. - Foto Ihsan PDRM
Pistol buatan sendiri dan peluru hidup yang dirampas daripada seorang lelaki berhampiran stesen minyak di Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi. - Foto Ihsan PDRM
Ibrahim Isa


POLIS Kota Tinggi menahan seorang lelaki dan menemui sepucuk pistol buatan sendiri daripadanya berhampiran stesen minyak di Jalan Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor, awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, tangkapan pada 1.15 pagi itu dilakukan menerusi Ops Laras selepas pihaknya mengesan lelaki yang dikehendaki itu bagi membantu siasatan kes samun dan ugut sekitar daerah itu.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui sepucuk pistol buatan sendiri, lima butir peluru dipercayai hidup jenama JME Mega 12 Boll dan dua butir peluru SG/LG 9 boll dalam bungkusan kain.

“Pemeriksaan mendapati lelaki berusia 22 tahun yang juga penagih dadah, terbabit dalam satu kes samun dan dua kes ugutan jenayah sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya dalam kenyataan di Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Majistret Kota Tinggi membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 2 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sehingga enam sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 6:04 PM