ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah pasar raya di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini. FOTO Rohana Idris
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah pasar raya di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini. FOTO Rohana Idris
Siti Rohana Idris


LEBIH 10 peniaga di pasar pagi Wakaf Bharu, Tumpat bertempiaran menyelamatkan diri selepas pejabat pentadbiran sebuah pasar raya terletak kira-kira lima meter dari tapak jualan terbakar, hari ini.

Dalam kejadian pada 9 pagi, kejadian berlaku di tingkat satu bangunan pasar raya terbabit, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Peniaga Asri Muhamad, 53, berkata sebaik ternampak asap tebal dan api di tingkap bangunan itu keadaan menjadi cemas.

“Saya terus memasukkan barang jualan ke dalam van dan bersiap sedia menyelamatkan diri sekiranya api merebak ke tapak jualan.

"Peniaga di hadapan khemah saya kebanyakannya sudah lari bersama barang jualan masing-masing. Mujurlah dengan tindakan pantas bomba berjaya mengelakkan api daripada merebak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pekerja pasar raya terbabit, Mazlan Jusoh, 46, berkata ketika kejadian dia berada di dalam pasar Wakaf Bharu untuk membeli sarapan sebelum ternampak asap tebal dari bangunan itu.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat api sedang marak di pejabat pentadbiran dan stor pasar raya lalu menghubungi penyelia untuk memaklumkan kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.03 pagi sebelum lima jentera dari BBP Tumpat, Kota Bharu, Darul Naim dan Pasir Mas dengan kekuatan 36 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Jentera mengalami sedikit kesukaran untuk tiba di lokasi berikutan kesesakan lalu lintas yang teruk disebabkan pasar pagi.

"Sebaik tiba, premis itu sudah 40 peratus terbakar dan api dapat dikawal dalam masa sejam," katanya.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 2:59 PM