ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Jalan Stephen Tan, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Jalan Stephen Tan, Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming

LEBIH 80 peniaga hilang sumber pendapatan selepas lima kedai menempatkan lot perniagaan di Pasar Gantung di Jalan Stephen Tan, Tawau, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian 4.45 pagi itu memusnahkan lebih separuh lot niaga di pasar berkenaan, kebanyakannya membabitkan premis menjual barangan cenderamata, kraftangan dan pakaian.

Api marak dengan cepat sehingga merebak ke bangunan dua tingkat bersebelahan menyebabkan lima premis perniagaan serta hotel bajet turut terbakar.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Pegawai Bomba Kanan 1 Faisal Ahmad, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.50 pagi sebelum menghantar 26 anggota bersama lima jentera ke lokasi.

"Pasukan bomba menghadapi kesukaran dalam operasi pemadaman berikutan masalah tekanan air rendah sebelum mendapatkan bantuan lori tangki Jabatan Air daerah.

"Api dikawal pada 7.23 pagi manakala punca kebakaran belum dikenal pasti," katanya.

Operasi itu turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Jabatan Air, Majlis Perbandaran Tawau serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

(Gambar kiri) YUSRAN (bertopi merah) bersama ahli keluarganya menunjukkan barangan kraftangan dan cenderamata di gerainya yang musnah manakala peniaga, Nursiah Lama, 32, (kanan) menunjukkan wang jualan gerai miliknya yang sempat diselamatkan. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera.

Pemilik gerai cenderamata dan kraftangan di Pasar Gantung, Yusran Sukur, 52, berkata, kejadian sebelum subuh itu berlaku terlalu pantas menyebabkan mereka gagal menyelamatkan barang perniagaan yang diusahakan sejak 40 tahun lalu.

"Sebaik mendapat tahu mengenai kebakaran ini saya bergegas ke sini namun sebaik tiba keseluruhan gerai sudah musnah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 9:53 AM