Zuhainy Zulkiffli


TAHANAN berhubung kes dadah yang lolos dalam kejadian di Bayan Lepas, pagi Ahad lalu, dipercayai sudah keluar dari Pulau Pinang.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, ia berikutan polis sudah menjejaki suspek melebihi 48 jam di semua kawasan serta tempat pengedaran dadah termasuk di Kedah.

“Kita harap suspek berkenaan belum keluar dari Malaysia. Kita sudah maklumkan polis di Thailand dan Indonesia bagi mengesannya jika dia melarikan diri menggunakan laluan haram.

"Kita memperoleh beberapa maklumat berhubung jumlah suapan diterima anggota polis itu namun belum boleh mendedahkan berikutan siasatan masih dijalankan," katanya yang ditemui di majlis rumah terbuka UMNO negeri di Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi Ahad lalu, seorang tahanan berusia 43 tahun dilaporkan lolos dengan tangan bergari ketika dalam perjalanan kononnya bagi mendapatkan rawatan di hospital bersama dua tahanan lain.

Bagaimanapun, siasatan mendapati ia hanya rekaan apabila semua tahanan terbabit dibawa berjumpa keluarga masing-masing sebelum seorang daripadanya melarikan diri.

Berikutan itu, lapan anggota polis dan seorang orang awam direman empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 4:27 PM