MAZLAN (tiga dari  kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Ir Zohari Sulaiman (kiri)  menyerahkan sumbangan   kepada orang awam pada program Pencegahan Jenayah Walkabout di Stesen LRT Masjid Jamek, semalam.
MAZLAN (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Ir Zohari Sulaiman (kiri) menyerahkan sumbangan kepada orang awam pada program Pencegahan Jenayah Walkabout di Stesen LRT Masjid Jamek, semalam.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Membimbangkan apabila sebanyak 2,576 kes kemalangan dicatatkan di sekitar ibu kota dalam tempoh 16 hari Op Selamat 11 dilancarkan dari 18 Jun hingga 3 Julai lalu.

Nahas tidak hanya membabitkan pemandu dan penumpang kenderaan malah turut membabitkan pejalan kaki.

Statistik menunjukkan seramai tiga pejalan kaki maut selepas didapati melintas jalan raya dan lebuh raya di kawasan yang tidak dibenarkan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, tujuh kemalangan maut direkodkan sepanjang Op Selamat lalu berbanding enam kes pada Op Selamat 9 pada 2016.

“Kawasan Kuala Lumpur mencatatkan 2,576 kes kemalangan dan tujuh daripadanya adalah kemalangan maut membabitkan tiga penunggang motosikal, satu pemandu kereta dan tiga pejalan kaki.

“Ketiga-tiga mangsa pejalan kaki yang maut adalah warga asing yang dikesan melintas jalan di Jalan Pudu dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Ulu Kelang,” katanya ketika sidang media Program Pencegahan Jenayah Walkabout di Stesen LRT Masjid Jamek, di sini, semalam.

Terdahulu Mazlan meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama pengguna LRT dari Stesen LRT KLCC menuju ke Stesen LRT Masjid Jamek sebagai langkah mendekati masyarakat untuk mencegah jenayah.

Mazlan berkata, jenayah indeks di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan sebanyak 26 peratus berbanding tahun lalu, namun tahap kebimbangan masyarakat terhadap jenayah tetap wujud.

“Jenayah indeks berjaya dikurangkan. Jadi kami mahu tahap kebimbangan masyarakat terhadap kejadian jenayah turut menurun. Sebagai contoh mereka takut untuk menggunakan kenderaan awam.

“Tempat awam seperti stesen LRT dan dalam gerabak sendiri juga terdapat kes seluk saku dan raba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 6:14 AM