DAUD  dan Faridah  menunjukkan laporan polis  dan gambar Nurul Suriani yang hilang.
DAUD dan Faridah menunjukkan laporan polis dan gambar Nurul Suriani yang hilang.

Kubang Pasu: “Saya menghantar Nurul Suriani seperti biasa ke butik pakaian bayi tempatnya bekerja jam 9 pagi namun sebenarnya dia tidak bekerja pada hari berkenaan,” kata Daud Ahmad, 52, yang buntu memikirkan nasib anaknya yang tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Desa Keda, Malau sejak hari raya ketiga.

Menurut Daud, mereka sekeluarga tertekan dan bimbang dengan keselamatan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Katanya, Nurul Suriani, 22, tidak pernah keluar rumah sesuka hati dan jika hendak ke mana-mana, dia yang akan menghantarnya atau dihantar anak yang lain.

“Kehilangan Nurul Suriani disedari apabila adik saya, Zulnizam yang mahu menjemputnya pulang daripada kerja jam 9 malam, 27 Jun lalu mendapati dia tiada di premis berkenaan,” katanya.

Menurut Daud, pada malam kehilangan Nurul Suriani, ada rakannya mendakwa terlihat anak perempuannya membonceng motosikal dan apabila dihubungi telefon bimbitnya dimatikan.

“Nurul Suriani ceria menyambut hari raya dan tidak menunjukkan perubahan sikap, malah dia juga tidak membawa pakaian lain.

“Ramai saudara dan rakan saya cuba mencarinya termasuk menghubungi kawan rapat Nurul Suriani tetapi gagal mengesannya,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Suriani, Faridah Ismail, 48, merayu anaknya segera pulang ke pangkuan keluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nurul Suriani diminta menghubungi Daud di talian 011-35279766.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 12:32 PM