Anggota bomba berjaya menemui Saidin yang hilang di bukit Kampung Kuala Abai. FOTO Recqueal Raimi
Anggota bomba berjaya menemui Saidin yang hilang di bukit Kampung Kuala Abai. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


WARGA emas berusia 62 tahun yang dilaporkan hilang di bukit Kampung Kuala Abai, Kota Belud ditemui selamat 5 petang, semalam.

Difahamkan, Saidin Tarazim dilaporkan hilang ahli keluarganya jam 10 pagi semalam ketika pergi bersenam dan dipercayai tidak kembali ke rumah kerana tersesat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.32 petang dan enam anggota dikejar ke lokasi bersama sebuah jentera.

Katanya, operasi mencari mangsa dijalankan dengan bantuan empat anggota Pasukan Bomba Bantuan, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta beberapa penduduk kampung.

“Pasukan bomba berjaya menemui mangsa pada jam 5 petang tanpa mengalami kecederaan namun dalam keadaan lemah dan letih.

“Mangsa yang ditemui di kaki bukit di kawasan bakau kemudian dipapah ke kawasan lapang di bukit untuk diberi rawatan awal sebelum dipapah semula sehingga ke kawasan jeti di kampung terbabit,” katanya.

Rozlan berkata, mangsa pada awalnya mahu dibawa ke Hospital Kota Belud namun mangsa menolak berikutan kecederaan yang dialaminya tidak serius sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

“Operasi ditamatkan jam 5.05 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:26 AM