Antara premis yang diperiksa di kawasan Perindustrian Taman Desa Impian Senai. Foto Mary Victoria Dass
Antara premis yang diperiksa di kawasan Perindustrian Taman Desa Impian Senai. Foto Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


MAJLIS Perbandaran Kulai (MPKu) mengenal pasti sebanyak 36 kilang haram beroperasi di sekitar kawasan perindustrian Taman Desa Impian, Senai.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) Mohammed Shakib Ali berkata, perkara itu terbongkar apabila pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 202 daripada 401 premis di kawasan itu baru-baru ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu didapati sebanyak 94 premis berlesen, 61 premis kosong dan 10 buah sudah ditutup, manakala sebuah premis dalam proses mendapatkan lesen.

Katanya, bagi premis yang beroperasi tanpa lesen, semakan mendapati pihaknya sudah mengambil tindakan sesuai termasuk menghantar notis dan mengeluarkan kompaun.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengusaha premis terbabit didapati masih berdegil dan tidak akur dengan peraturan ditetapkan.

“Antara langkah kawalan yang akan dilakukan termasuk bahagian pelesenan dan penguatkuasaan melakukan pemeriksaan berkala dan menyediakan laporan mingguan.

“Kita juga memandang serius berkaitan status pematuhan peraturan dan undang-undang oleh pengusaha kilang.

“Kami bercadang menubuhkan pasukan task force pembersihan bagi mengambil tindakan mengikut aduan diterima dan keperluan,” katanya.

Mohammed Shakib berkata, pihaknya bercadang mengadakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan dalam tempoh terdekat.

“Selain beroperasi secara haram, pengusaha berkenaan didapati bebas menggunakan bahu jalan dengan meletak barangan dan mencemari kawasan sekitar.

“Ia secara tidak langsung menjejaskan keselesaan penduduk dan pengguna jalan raya terutama penduduk sekitar dan jika dibiarkan beroperasi secara berterusan ia boleh menimbulkan masalah lebih serius.

“Hari ini kami memberi notis dan mengeluarkan kompaun, tindakan dilakukan mengikut Undang-undang Kecil (Mengkompaun Kesalahan) Majlis Daerah Kulai 1987, Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974, Undang-undang Kecil Trade, Perniagaan, Industri dan Profesion Majlis Daerah Kulai 1982,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:22 PM