LELAKI warga Indonesia cedera di kepala selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
LELAKI warga Indonesia cedera di kepala selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


SEORANG lelaki warga Indonesia cedera di kepala selepas terjatuh ketika cubaan melarikan diri daripada ditahan anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS) dalam Op Ikrar yang diadakan di sekitar Seremban, hari ini.

Lelaki berusia 30-an terbabit antara 23 warga asing yang ditahan dalam operasi yang dilakukan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas tempoh permohonan kad sementara (E-Kad ) tamat semalam.

Timbalan Pengarah JIMNS (Pengurusan) Nurulshima Mislan berkata, operasi dengan kekuatan 21 anggota itu bermula jam 12 tengah malam tadi dan berakhir jam 1 tengah hari ini.

Menurutnya, antara premis yang diperiksa adalah restoran, kedai runcit, kedai gunting rambut dan pelbagai lagi.

"Seramai 73 warga asing diperiksa tetapi 23 daripadanya iaitu empat lelaki warga India, seorang lelaki Bangladesh, 17 lelaki Indonesia dan seorang wanita Indonesia berusia antara 23 hingga 42 tahun ditahan.

"Mereka dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 4:39 PM