WARGA asing yang ditahan ketika Ops Ikrar  di  Port Dickson dan Seremban,    semalam.
WARGA asing yang ditahan ketika Ops Ikrar di Port Dickson dan Seremban, semalam.

Seremban: Enam wanita warga Vietnam antara 13 yang ditahan dalam Ops Ikrar dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di sekitar daerah Port Dickson dan Seremban dalam tempoh 10 jam sehingga awal pagi semalam.

Timbalan Penolong Pengarah JIMNS Mohd Nor Alfaisa Riza Ma’arof berkata, operasi bermula jam 3 petang kelmarin dan berakhir jam 1 pagi semalam dengan kekuatan 12 pegawai imigresen Negeri Sembilan.

“Enam pusat urut diperiksa di sekitar Seremban dan Port Dickson selain beberapa premis perniagaan serta kediaman.

“Dalam operasi di kedua-dua lokasi itu, 52 warga asing diperiksa dan enam wanita warga Vietnam, lima lelaki warga Pakistan dan dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen dan menyalahi Akta Imigresen 1959 dan 1963. Semua mereka berusia antara 20 hingga 46 tahun,” katanya.

Katanya, ketika serbuan, kebanyakan rumah urut itu tiada pelanggan dan pekerjanya terdiri daripada wanita warga Vietnam dipercayai menunggu pelanggan.

“Mereka kelihatan terperanjat, tetapi tidak cuba untuk lari dan memberikan kerjasama kepada pegawai imigresen. Pemeriksaan di sebuah rumah pula mendapati dua lelaki warga Indonesia cuba bersembunyi di atas siling rumah melalui lubang di tandas.

“Empat wanita warga Vietnam itu ditahan mengikut Seksyen 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dua lagi Vietnam, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki warga Indonesia disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Nor Alfaisa Riza berkata, seorang lelaki Pakistan pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama dan semua tahanan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:46 AM