POLIS meronda di kawasan yang dilanda banjir di Jasin, semalam. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
POLIS meronda di kawasan yang dilanda banjir di Jasin, semalam. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir di Melaka terus menurun kepada 112 orang setakat 12.45 tengah hari ini berbanding 118 mangsa pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Melaka, Lt. Kol (PA) Effendy Ali dalam kenyataan berkata enam mangsa di daerah Jasin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi berikutan cuaca cerah berterusan hari ini.

Katanya secara keseluruhan, 85 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tehel, Jasin, manakala 27 mangsa daripada enam keluarga masih berada di Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di Alor Gajah.

Beliau berkata, tiga kampung di Alor Gajah yang terlibat dengan bencana itu ialah Kampung Padang Kerbau Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai dan Kampung Pulau, manakala di Jasin ialah Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka itu berkata, banjir disebabkan beberapa sungai di kawasan itu melimpah akibat hujan lebat pada Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 3:14 PM