PUSAT pemindahan sementara (PPS) SK Tehel yang menempatkan 69 mangsa daripada 19 keluarga ditutup. FOTO BERNAMA
PUSAT pemindahan sementara (PPS) SK Tehel yang menempatkan 69 mangsa daripada 19 keluarga ditutup. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Banjir yang melanda tujuh kawasan di Jasin, dekat sini, semalam, pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel yang menempatkan 69 mangsa daripada 19 keluarga ditutup pada jam 2.30 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Effendy Ali berkata, kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang selepas mendapat kebenaran daripada Pegawai Daerah Jasin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jasin.

"Keadaan cuaca pada hari ini baik dan kesemua mangsa yang terdiri daripada 27 lelaki dan 42 perempuan itu dibenarkan pulang," kata Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, PPS SK Tehel mula dibuka pada jam 4.30 petang berikutan limpahan air Sungai Ayer Panas selepas hujan lebat berterusan.

Kawasan yang terlibat ialah Kampung Lubuk Kasau, Hulu Duyung, Jasin Bestari, Bemban, Kampung Tehel, Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong.

Berita berkaitan

69 mangsa banjir dipindahkan di Jasin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 5:53 PM