Wan Rohani (kanan) memilih baju raya untuk anak perempuannya, Nur Balqis Sofia. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Wan Rohani (kanan) memilih baju raya untuk anak perempuannya, Nur Balqis Sofia. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


DUA belas keluarga asnaf sekitar Kota Bharu dibawa membeli-belah pakaian Aidilfitri di Mydin Kubang Kerian, hari ini, menerusi program Kita Kongsi.

Program inisiatif Hotel Grand Riverview (GRV) itu turut mendapat sokongan Kerabat Diraja Kelantan yang menyumbang barang keperluan harian.

Turut hadir ketika keluarga itu membeli-belah ialah Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra yang juga bonda saudara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Penerima, Wan Rohani Wan Mamat, 38, dari Pengkalan Chepa berkata, dia dan suami, Ismail Razak, 39, tidak mampu membeli baju raya untuk lima anak mereka berusia tujuh hingga 16 tahun kerana tiada pendapatan tetap.

"Saya mengambil upah mencanting batik manakala suami tukang rumah. Pendapatan kami tidak menentu kerana berdasarkan orang panggil bekerja.

"Untuk Ramadan ini, pendapatan memang tiada sangat. Memang sudah fikir, anak tiada baju raya lagi tahun ini, tetapi Alhamdulillah, masih ada yang prihatin dan membawa kami membeli-belah di sini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran GRV, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, semua 12 keluarga itu terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dan masih tidak mempunyai kelengkapan menyambut Aidilfitri.

"Mereka dipilih berdasarkan penelitian kita selepas program Jelajah Kita Kongsi yang diadakan pada minggu pertama hingga ketiga Ramadan.

"Dalam program jelajah itu, kita membawa makanan sahur untuk mereka yang kurang bernasib baik dan ada antaranya menjadi penerima pakaian raya hari ini.

"Diharapkan, sumbangan ini dapat menggembirakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 6:27 PM