SUKARELAWAN menemani peserta ketika sesi membeli-belah.
SUKARELAWAN menemani peserta ketika sesi membeli-belah.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Jarang sekali bertemu dengan individu cacat penglihatan membeli-belah barang keperluan harian. Tahap penglihatan yang sangat terhad atau tidak dapat melihat langsung memang menjadi halangan besar bagi golongan ini memilih barangan.

Aktiviti membeli barang keperluan harian jadi lebih sukar bagi warga emas yang turut mengalami masalah penglihatan selain tidak mempunyai kenderaan sendiri, tiada ahli keluarga yang dapat menemani dan sumber kewangan yang terhad.

Prihatin dengan keadaan itu, Persatuan Harapan Mulia menganjurkan Program Rakan Shopping khusus untuk membantu mereka yang memerlukan dengan memberi sumbangan.

Program itu dianjurkan setiap bulan bagi membantu 10 keluarga kurang bernasib yang dipilih dan dijemput untuk membeli barangan runcit bagi meringankan beban isi rumah mereka.

Tiga orang kurang upaya (OKU) lain pula antara 10 keluarga kurang bernasib baik yang menyertai sesi membeli-belah berkenaan. Bagi tiga keluarga itu, tugas membeli barangan runcit menjadi satu beban bagi mereka disebabkan kecacatan terbabit.

Dalam program itu, sukarelawan membantu keluarga terbabit dengan menemani dan memapah mereka memilih barangan runcit sambil membantu mengangkat barangan berkenaan.

Selepas sesi membeli-belah, penerima bantuan turut dijamu dengan hidangan tengah hari di medan selera pasar raya sebelum dihantar pulang ke rumah masing-masing oleh sukarelawan.

Keluarga penerima sumbangan kelihatan terharu dengan tindakan sukarelawan yang sabar menemani dan menolong mengangkat barangan runcit yang berat ke rumah flat masing-masing.

Bagi pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai persatuan, mahu menjadi penyumbang wang atau tenaga, boleh melayari laman web www.persatuanharapanmulia.wordpress.com atau hubungi mereka di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:02 AM