SUHAIMI (dua kanan) menunjukkan sebahagian kasut tiruan berjenama yang disita. FOTO  Balqis Jazimah Zahari
SUHAIMI (dua kanan) menunjukkan sebahagian kasut tiruan berjenama yang disita. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas 2,764 pasang kasut tiruan berjenama bernilai RM62,320 dalam serbuan di dua rumah yang dijadikan stor simpanan di Bukit Merah, Menglembu, Ipoh, semalam.

Operasi membanteras penjualan barang tiruan itu dijalankan 15 anggota penguatkuasa KPDNKK dan empat anggota polis pada 5.45 petang.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Suhaimi Mat Sari berkata, rampasan itu adalah rampasan barangan tiruan terbesar dihasilkan KPDNKK Perak tahun ini.

Katanya, serbuan yang dijalankan di kedua-dua rumah berkenaan turut menahan dua lelaki berusia 21 dan 71 tahun dipercayai peniaga barangan tiruan itu.

“Jarak antara kedua rumah itu hanya 50 meter dan kedua-dua suspek tidak mempunyai pertalian keluarga namun menjalankan perniagaan yang sama.

“Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menjadikan rumah biasa sebagai stor simpanan dan menjual harga barangan berkenaan menyamai harga asal,” katanya pada sidang media di stor simpanan KPDNKK di Jalan Kuala Kangsar, hari ini.

Suhaimi berkata, siasatan awal mendapati kesemua barangan tiruan itu adalah untuk dijual secara borong atau runcit di sekitar Ipoh dan negeri ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 2:59 PM