Rosli Ilham


SEBUAH lori tangki yang membawa bekalan diesel terbakar di Kilometer 346.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat susur keluar Kuala Dungun, hari ini.

Kejadian kira-kira 3.40 petang itu turut menyebabkan aliran trafik dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu mengalami kesesakan sejauh lima kilometer.

Pemandu lori terbabit, Mohd Hisham Zainal Abidin, 28, berkata, dia mengambil bekalan diesel dari Kerteh dan dalam perjalanan ke Tok Bali, Kelantan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, satu tayar belakang lori meletup sebelum dia bertindak memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan.

"Sebaik membuat pemeriksaan didapati ada bara api membakar tayar dan saya bergegas mengambil dua unit alat pemadam api untuk memadamkannya.

"Bagaimanapun bara terbabit menyambar bahagian tangki menyebabkan api semakin besar dan marak," katanya.

Mohd Hisham berkata, dia mengambil dua lagi alat pemadam api tetapi gagal memadamkannya sebelum bertindak memisahkan bahagian kepala dan badan lori bagi mengelaknya daripada turut terbakar.

"Api marak sangat cepat dan saya segera menghubungi bomba serta minta pengguna lebuh raya supaya menjauhi kawasan kejadian.

"Sepanjang sembilan tahun menjadi pemandu lori, ini kejadian pertama yang berlaku terhadap saya bagaimanapun bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jaswari Awang berkata, seramai 16 pegawai dan anggota Balai AMBS dan Paka dengan dua jentera dipanggil bagi memadamkan kebakaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 5:50 PM
Anggota bomba dan penyelamat memadam api daripada merebak apabila sebuah lori tangki yang membawa bekalan diesel terbakar di Kilometer 346.1 LPT2 berhampiran susur keluar ke Kuala Dungun petang tadi. FOTO Rosli Ilham
Anggota bomba dan penyelamat memadam api daripada merebak apabila sebuah lori tangki yang membawa bekalan diesel terbakar di Kilometer 346.1 LPT2 berhampiran susur keluar ke Kuala Dungun petang tadi. FOTO Rosli Ilham