NAJIB berucap pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama segmen Penggiat Seni. Turut hadir, Datuk Rosyam Nor. FOTO Asyraf Hamzah
NAJIB berucap pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama segmen Penggiat Seni. Turut hadir, Datuk Rosyam Nor. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


PENGGIAT seni di negara ini boleh berperanan memajukan negara dan tidak harus dipinggirkan dalam arus perdana negara terutama menuju aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, selain menghibur, penggiat seni boleh memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara bukan sahaja dari sudut memajukan industri kreatif dan hiburan sebaliknya memajukan negara.

Beliau berkata, jika mahu membentuk rupa bangsa dan membina nilai sikap dan budaya, sudah tentu tugas itu bergantung pada penggiat seni terutama pelakon, penyanyi, pelawak dan pekerja industri hiburan.

"Penggiat seni boleh dijadikan idola dan ikutan. Jika penggiat seni mampu menjadi ikutan, mereka boleh bantu membentuk generasi akan datang sekali gus mengangkat martabat negara dan seterusnya dijadikan aspirasi negara.

"Pendekatan aspirasi negara sudah berubah dan era kerajaan mengetahui segala-segalanya sudah berakhir. Kini sudah tiba masanya rakyat berkongsi minda dan aspirasi rakyat untuk membina kebersamaan antara kerajaan," katanya pada sesi Dialog 'Transformasi Nasional TN50 Perdana Menteri bersama Penggiat Seni' di Seri Perdana di Putrajaya, malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak; dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Katanya, beliau mengganggap penggiat seni adalah penghubung kepada rakyat justeru, mereka juga boleh berperanan menentukan masa depan negara.

Dalam pada itu, Najib berkata, dialog dan sesi bersama Perdana Menteri ini mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya mengumpulkan begitu ramai penggiat seni dalam satu majlis.

Majlis itu dianjurkan Yayasan Perdana Ummah dengan kerjasama Pejabat Penasihat Jabatan Perdana Menteri & Kementerian Komunikasi Dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 10:57 PM